Tetamu Tengah Malam

 

Selalunya suamiku  balik awal. Kenapa hari ini lewat sangat. Sudah pukul 11.00 malam masih tak pulang lagi?!

“Baik aku telefon”.

“Abang di mana sekarang ni? Kenapa tak sampai rumah lagi? Nada suaraku meninggi tetapi dikawal-kawal, sedang hati sudah membusung marah.

“Kejap lagi. Ada kerja sikit.” Kata suara di corong sana lalu talian telefon dimatikan.

Aku hanya mampu memandang telefon vivo di tanganku. Amarah mula menerpa. Otak ligat menduga-duga apa suamiku buat di pejabat sehingga larut malam. Cemburu mula bertamu tapi segera kuusir jauh-jauh. Tidak mahu fikir yang bukan-bukan, kerana syak wasangka itu tidak baik untuk minda yang terkurung  seperti aku ini. Aku tidak mahu peristiwa lalu berulang kembali.

Dua tahun  lalu.

“Siapa yang menelefon tu?” tanyaku

“Kawan.” Sepatah saja jawabnya.

“Kawan, kenapa cakap jauh-jauh kalau kawan?” tanyaku tidak puas hati.

“Adalah bah tu,” ringkas sahaja jawapannya.

Perasaan ingin tahuku membuak-buak. “Nanti kau!” hatiku bagai dicangkul-cangkul sakitnya.

Telefon bimbit suamiku berdering lagi. Dia mengambilnya dan merenung telefon itu tanpa berbuat apa-apa sebab aku ada di situ. Telefon itu dimasukannya dalam poket seluar panjang lalu keluar. Aku masih memandangnya dari jauh. Setelah kereta Myvi berlalu jauh. Aku masuk ke dalam rumah dan terus ke dapur. Walaupun hatiku dipagut rasa marah, namun aku berusaha mengawalnya.

 

Suatu petang.

“Ada orang nak jumpa abang di pekan. Abang keluar sekejap” tanpa menunggu jawapanku, suamiku terus berlalu. Dia masuk ke bilik. Tidak lama kemudian keluar dengan kunci kereta di tangan. Aku hanya memandangnya berlalu pergi. Sebaik kereta putih mitalik itu keluar dari pekarangan rumah. Tiba-tiba telefonku berdering. Segera aku mengangkatnya.

“Hello, kenapa?”

“Laa…belum cakap sudah tanya. Marah-marah lagi tu. Sabar bah…” Kata Sharlin di hujung sana.

“Apa kata kau temankan aku ke kedai bunga, dan aku belanja kau minum cappuccino?” sedap ni…menyesal kalau kau tidak terima pelawaanku.”

“Baiklah…baiklah….” Getusku

Kami singgah di sebuah kafe berhawa dingin sebaik sahaja selesai urusan Sharlin di kedai bunga. Macam taman bunga sudah keretanya. Hampir tidak kelihatan kereta di belakang melalui cermin pandang belakang.

Baru sahaja aku menghirup kopi cappuccino, pandanganku tertancap pada seseorang. Seseorang yang amat kukenal. Tapi, siapa perempuan itu?

Berderau darahku sebaik melihat lelaki yang duduk membelakang itu pada mulanya, berdiri dan memusingkan badannya ke arah aku. Orang itu benar-benar aku kenal.

Hilang seleraku menghirup kopi kegemaranku. Aku berdiri lalu meninggalkan Sharlin terpinga-pinga. Mahu tidak mahu Sharlin terpaksa meninggalkan kopi kegemaran kami dan mengejar aku di kereta.

Sebaik Sharlin tiba di kereta, cepat-cpat aku mengelap air mataku yang tumpah. Aku meramas jari jemariku sambil menggenggamnya erat. Aku cuba mengawal diri dengan menarik nafas dalam-dalam. Aku cuba bertenang.

“Hei kawang. Kenapa?” nada suaranya seperti loghat Indonesia

Aku lemparkan senyuman paksa kepadanya. Aku bawa Sharlin pulang dan tanpa banyak soal, kami meninggalkan kedai berhawa dingin itu.

Malam itu juga kami perang mulut habis-habisan. Bukan setakat mulut, barang-barang di rumah pun aku lemparkan, aku hamburkan, malah apa saja yang aku pegang aku buang. Hampir saja kepala suamiku terkena parang yang aku lemparkan tanpa melihat pada sarungnya.

Sejak dari peristiwa itu, suamiku tidak lagi berani bermain anak api.

“Park….” Bunyi batang kayu patah kedengaran. Ribut di luar seolah-olah menggila. Ranting-ranting kayu berjatuhan. Hujan semakin lebat. Langsir tingkap bagai ditarik-tarik ditiup angin kencang.

Sebaik sahaja aku letakkan telefon bimbit di atas meja ruang tamu menghadap televisyen dan berkira-berkira menuju ke bilik air. Aku seolah-olah terdengar ketukan di luar pintu- sekali.

Aku merenung pintu rumah, kalau-kalau ada lagi ketukan kali kedua dan suamiku terpacul di pintu rumah- masuk!. Namun tiada. Sunyi. Kuperhatikan jua tombol pintu mana tahu ada gerakan orang memutarkan tombol pintu dari luar. Juga tiada.

Angin tiba-tiba menderu. Pintu bilik berdentum tertutup dengan kuat seolah-olah ada yang menghempaskan pintu itu. Degupan jantungku terhenti. Mataku buntang memerhati ke arah pintu bilik kami. Aku benar-benar terkejut.

Titisan hujan di luar semakin lebat. Angin masih menderu seolah-olah menghalau hujan itu. Aku masih tercegat di ruang tamu rumahku. Pada saat semangatku sudah stabil, aku mula mengatur langkah ke bilik air kerana sedari tadi pundi kencingku seperti menjerit-jerit minta dibuangkan isinya.

Selangkah dua langkah- kakiku terhenti. Cuping telingaku bagaikan terdengar ketukan pintu seraya menutup pintu. Aku sempat mengerling  jam dinding di atas televisyen. Jarum jam menunjukkan tepat pukul 12.00 tengah malam. Aku tidak menoleh ke arah pintu kerana aku sudah di muka pintu bilik air. Aku sudah tidak tahan lalu masuk dan melepaskan hajat- buang air kecil. Bunyi tadi tidak kuhiraukan.

Sebaik sahaja membuka pintu bilik air aku tergamam- susuk tubuh lembaga tercegat benar-benar di hadapanku.

“Ayang…bangun ayang. Kenapa ni?’

“Kenapa tidur dekat bilik air?’

Perlahan-lahan aku membuka mata. Terasa sakit di bahagian kepala, tengkuk dan bahu sebelah kananku. Aku memerhati sekeliling. Aku renung wajah suamiku dalam-dalam dan tiba-tiba aku menggigil ketakutan. Aku memeluk suamiku sekuat  mungkin sambil menangis. Tangisanku tidak keluar bagai ada batu yang menyekat kerongkongku.

“Kenapa ni? Ayang kenapa?” suamiku menanyaiku bertalu-talu.

“Aduh Yang, patahlah ni leher abang” kata suamiku sambil tersekat-sekat bercakap kerana  mengalami kesukaran bernafas.

Perlahan-lahan kuleraikan pelukanku tetapi tanganku masih menggeletar.

“Kenapa ni?” apa yang berlaku? Tanya suamiku bertalu-talu sambil mengoncangkan tubuhku. Aku hanya memandangnya kosong. Aku bagai dirasuk. Suaraku tidak keluar.

Suamiku memegang tanganku. Duduk di sisiku dan memandang sekilas kepadaku.

“Kita berdoa” bisiknya sambil memegang tanganku dan membuat tanda salib dari dahi dan dada kiri kanan sebelum suamiku menutup mata- berdoa.

Cuping telingaku sempat menangkap kata penutup doa suamiku “Aamiin” sambil tangannya memegang tanganku dan membuat tanda salib sekali lagi bermula dari dahi ke dada kiri dan kananku.

 

Perlahan-lahan ingatanku kembali normal. Aku merenung wajah suamiku dan melihat ke arah jam yang terletak di atas meja di sebelah kiri katil kami. Jarum jam menunjukkan tepat pukul 1.00 pagi.

“Pukul berapa abang sampai?” tanyaku kepadanya.

Sambil menarik nafas lega, “pukul 12.30 tengah malam’. ‘Kenapa?’

“Tetamu tiada muka!” kataku perlahan.

Bulu romaku tiba-tiba menegak dan aku menggigil ketakutan.

tetamu

Leave a Reply