RINDU YANG TERTANGGUH

RINDU YANG TERTANGGUH

Oleh: KASMAH OSINGANG @ZAAHOSSEY

Zahirah merenung jauh, pemandangan indah di desa kelahiran yang selama ini menjadi kebanggaannya kini kosong dan hambar. Lambaian nyiur dan lenggok padi yang sedang menguning tidak mampu menarik perhatiannya, ada rasa kesal dan sedih bertamu di hatinya.

“Irah nak balik kampung, Irah dah memohon cuti 2 minggu, abang kena benarkan Irah”, nada suara isterinya kali ini membuat Harris tersentak.

“ Kenapa Irah tiba-tiba nak balik kampung, bukan ke? Irah baru balik bulan lalu, Irah ambil cuti pun tidak bincang dengan abang dulu, apa masalah Irah ni?”

Harris merenung wajah wanita yang selama ini memberinya kekuatan  menghadapi saat-saat  getir dalam hidupnya sebagai seorang suami, seorang ayah  yang kehilangan pekerjaan tetap, hilang harga diri dan harus menerima hukuman  akibat perbuatan orang lain.

“Abang tidak perlu tahu sebab Irah bercuti, abang izinkan atau tidak, Irah tetap akan balik kampung, abang menghilang selama seminggu, ada abang fikir tentang Irah dan anak-anak,” kemarahan Zahirah belum reda dengan sikap berahsia suaminya akhir-akhir ini.

Harris tergamam sikap isterinya kali ini benar-benar membuatnya terkedu. Berkali-kali dia mengusap wajahnya, seakan tidak percaya wanita yang selama ini seorang yang lemah lembut dan penuh kasih  sayang  berubah sikap, kasar dan angkuh.

“Jaga diri dan jaga anak-anak dengan baik,” pesanan yang selalu suaminya ucapkan setiap kali dia dan anak-anak balik kampung atau ke mana saja. Zahirah hanya menggangguk dan tidak seperti kebiasaannya. petang itu dia terus melangkah ke balai berlepas tanpa mengucup tangan suaminya. Hatinya sebal dan sakit.

“Tak baik Irah buat begitu pada suami, besar dosanya Irah, berprasangka dan menuduh tanpa usul periksa.” Mak Diah mengusap rambut anak bongsunya yang suka merajuk itu.

“Tapi Irah ada bukti ibu, Irah  nampak dengan mata sendiri, abang Harris bersama dengan perempuan itu, selama ni kawan-kawan bagi tau, Irah tak peduli.” Zahirah kesal kerana dikhianati.

“Apa yang Irah nampak, apa bukti yang Irah ada, setakat nampak Harris duduk semeja dengan perempuan itu, Irah tuduh dia curang.”

“Ibu tak tahu apa yang Irah lalui selama ini, Irah dah penat menanggung semua perbelanjaan keluarga Irah sedangkan Irah ada suami.”

“Tapi perbelanjaan dapur, Harris masih sediakan, Irah hanya bayar ansuran rumah dan kereta, Irah kena ikhlas anggaplah Irah membantu suami, lagipun bukan sengaja, kan.”

Mak Diah bingung menghadapi karenah puteri bongsunya itu.  Irah seorang yang matang, patuh kepada ibu bapa dan suami, didikan agama yang diberikan menjadi pedoman dalam melayari bahtera yang sudah berusia 10 tahun. Mak Diah yakin ada sesuatu yang tak kena menjadi punca perubahan sikap Zahirah.

“Irah tak tahu, kenapa ibu selalu menangkan Harris, sedang Irah ni anak kandung ibu.”

“Ibu tahu tapi ibu tak mahu, Irah jadi isteri derhaka, syurga seorang isteri di telapak kaki suami, Irah tahu kan. lagi satu berdosa mengaibkan suami.”

Irah tersentap kata-kata ibunya seakan mengejutkannya dari mimpi panjang, dia sedar akhir-ahkir ini dia terlalu terpengaruh dengan  hasutan rakan-rakannya, yang sering membanding-bandingkan taraf kedudukan, pendapatan dan kesetiaan  seorang suami. Irah sedar dia sudah terlalu jauh hanyut dengan bisikan suara-suara sumbang yang menjadi punca kerenggangan hubungan dengan suaminya. Perasaan rindu yang selama ini dia pendam seakan merobek hatinya.

Hampir 2 minggu bercuti di kampung, Harris  menelefonnya  setiap hari bertanyakan khabar dua orang puteri mereka, Alia dan Arysha. Anehnya, suaminya tidak lagi bertanyakan khabar tentang dirinya seperti selalu, tiada lagi kata-kata  bisikan rindu.

“Mungkin kali dia benar-benar merajuk dan marah dengan sikapku.” Zahirah memujuk hatinya. Kesalnya tak sudah, sikap ego dan manjanya tidak bertempat, selama 10 tahun bersama Harris, suaminya  banyak mengalah  dan bersabar dengan sikapnya.

Pagi itu, kerisauan Zahirah memuncak, perasaan bimbang dan marah  berbaur semua panggilan dan pesanan ringkas tidak berjawab. Dia kenal benar sikap suaminya marah macam mana sekalipun dia pasti akan menjawab panggilan dan pasti akan bertanya khabar anak-anak tapi pagi itu, semua tidak berbalas. Sesekali perasaan cemburu dan marah menjengah hati Zahirah tapi kata-kata ibunya terniang-ngiang dan dia harus menepis jauh-jauh prasangka dan tuduhan tanpa bukti itu. Dua minggu berjauhan dengan suaminya Harris perasaan marah dan cemburu itu bertukar menjadi rindu dan sayang yang teramat sukar diungkapkan. Zahirah akur dia terlalu mencintai suaminya, tidak sabar untuk mencium tangan sang suami untuk memohon maaf, dia rindu berada dalam pelukan hangat lelaki yang telah 10 tahun menjadi imamnya, membimbingnya menjadi seorang isteri yang soleha.

“Ya, Allah berilah aku kesempatan untuk memohon maaf kepada suamiku,” tanpa sedar air mata membasahi pipi Zahirah, perasaan kesal dan rindu amat sukar untuk dibendung.

“Irah dah ambil keputusan untuk balik hari ini ibu, Irah bimbangkan abang Harris, dari semalam dia tidak menjawab  panggilan, dia tidak pernah buat  begini, Irah risau.”

Mak Diah merenung anaknya, jelas sekali terbayang kebimbangan di wajahnya. Dia bersyukur dengan perubahan Zahirah semakin matang walaupun adakalanya sikap manja dan degil itu masih bersisa.

“Irah, sudah tempah tiket ke? Soal Mak Diah.

“Belum ibu, semalam Irah sudah semak, semua penerbangan hari ini  penuh, Irah ikut darat saja, abang Amir yang hantar  kebetulan dia ada urusan di bandar K esok.” Zahirah sudah nekad untuk kembali ke bandar K,  getar rindu di jiwanya semakin sukar             dibendung, kerinduan itu sukar untuk ditafsir, mungkin juga kerana rasa bersalah dengan sikapnya selama ini, prasangka, tuduhan tidak berasas dan tidak ikhlas dalam berkongsi suka duka yang menimpa suaminya sejak diberhentikan kerja kerana masalah kesihatan.  Dia terlalu risau dengan keadaan ekonomi keluarganya kerana sumber pendapat kini bergantung dengan gajinya. Zahirah masih teringat kata-kata suaminya.

“Irah tidak perlu risau, walaupun abang tidak bekerja tetap, abang masih mampu tanggung perbelanjaan kita, bisnes kecil-kecilan abang ni, masih dapat menampung belanja makan minum kita, itu dah tanggungjawab abang.”  Kata-kata suaminya Harris tidak mampu menghilangkan kerisauan Zahirah, dan kerisauan itulah yang membuatkan hubungan dengan suaminya agak renggang, rasa kesal dan berdosa dengan sikap egonya sebagai isteri membungkam di hati Zahirah.

 

“Abang nak buat apa pinjam duit Irah  ni, abang nak bagi anak-anak saudara abang ke?” Kata-kata sinis Zafirah buat Harris tersentap, Harris terkedu, perlahan-lahan dia melepaskan genggamannya, duit bernilai dua ribu ringgit tu diletakkannya semula.

 

“ Abang  tak cukup duit untuk beli peralatan bisnes abang, tapi tak apalah nanti abang cari tempat lain, Irah simpan balik duit ni.” Harris segera beredar tanpa menoleh ke arah isterinya, hatinya benar-benar tersentuh, harga dirinya kian terpijak sebagai seorang suami.

“ Abang,..Irah..” Zahirah cuba meraih tangan suaminya namun Harris terus berlalu tanpa sepatah kata. Hatinya benar-benar terluka dengan kata-kata isterinya.

Mahligai yang sudah 10 dibina mulai dilanda badai,  perasaan  bersalah Zahirah bertukar rasa cemburu yang menebal apabila Harris menghilangkan diri selama seminggu dengan hanya meninggalkan sekeping nota. Pelbagai andaian di fikiran Zahirah. Benarlah tekaannya, suaminya sudah berubah.

“Irah, kena bersabar dan jangan buat andaian bukan-bukan, mungkin betul abang Harris perlukan duit sebab itu dia mencari di luar sana?” Pujuk Hani kakak sulung Zahirah.

“Tapi, dia boleh guna duit Irah..Irah.”

“Salah Irah juga bercakap ikut suka hati, berdosa tau Irah prasangka buruk kepada suami, buang sikit ego Irah tu, setinggi manapun pangkat seorang isteri, kita kena hormat dan taat kepada suami.” Hani tahu adiknya mudah terpengaruh dengan pendapat kawan-kawan sepejabatnya yang sering menilai kesempurnaan seorang suami terletak pada  kedudukan dan gaji yang lumayan.

Menempuh perjalanan yang memakan masa selama 6 jam amat memenatkan, terasa lenguh seluruh tubuh, kalau ikutkan hati Zahirah tidak sanggup mengharungi perjalanan itu, selama ini dia akan menaiki penerbangan bersama-sama anak-anak manakala si suami pula akan memandu sendirian untuk pulang ke kampung Zahirah. Namun, kali ini ada sesuatu yang memaksa Zahirah untuk pulang segera menemui suami tanpa memikirkan  penatnya dalam perjalanan itu.Ya, ada kerinduan yang sukar untuk dileraikan, Zahirah benar-benar diusik rindu.

“Aku akan mendakap abang seeratnya, Irah akan menjaga hati dan menyirami cinta kita agar sentiasa segar, Irah janji akan menjadi isteri yang taat,” tanpa sedari butiran mutiara jatuh di pipi gebu Zahirah.

“Kenapa rumah adik bergelap ni, Harris tiada di rumah ke?” Amir memandang wajah adiknya yang mula mencuka, dia tahu sikap cemburu Zahirah sukar dibendung.

“Biasanya, jam begini dia dah sampai dari surau, Irah dah bagi tau abang Harris, Irah balik hari ini,” hatinya mula diusik resah.

“Eh, abang dah tidur ke? Zahirah terkejut melihat sesosok tubuh yang sedang berbaring di atas katil sebaik saja menyalakan lampu.

“Aaah…maafkan abang Irah, abang terlelap…tak sedar Irah dah sampai.” Harris berusaha bangun namun kudratnya amat lemah, dia berbaring semula.

“Ya, lah dari semalam Irah telefon tapi abang tak angkat”

“Telefon abang ada masalah, dah dua hari tak dapat memanggil dan menerima panggilan.”

Zahirah memujuk hatinya agar menepis jauh-jauh, andaian yang negatif terhadap suaminya, dia pulang untuk melerai rindu dan memohon maaf kerana sikapnya selama ini.

“Abang sakit ke, Irah nampak muka abang pucat,” dia cuba menyentuh dahi Harris tapi sang suami seolah-olah mengelak dengan memalingkan mukanya ke arah lain.

“Abang sihat, cuma penat sikit tadi ada gotong-royong di surau,” ada getaran dalam suara Harris.

“Tak apalah bang, abang sambunglah tidur, esok baru kita sembang.” Zahirah berusaha untuk menenangkan gelodak di hatinya,

“Abang, betul-betul dah berubah atau dia masih marahkan aku,” bisik hatinya.

Sepanjang malam, Zahirah tidak dapat melelapkan matanya. Dia merenung wajah suami yang dirinduinya dalam samar-samar, wajah itu  tenang tiada secalit kebencian pada  wajah lelaki yang sangat sayangi oleh jiran dan penduduk kampung kerana sikap ramahnya dan suka membantu.

“Abang nak ke mana ni, muka abang masih pucat ni, penyakit asma abang datang lagi ke?” Zahirah menggenggam jejari suaminya yang agak dingin itu.

“Abang, Irah minta ampun kerana kelakuan Irah selama ini, Irah bukan isteri yang baik. Irah telah melukakan hati abang,” tangisan Zahirah memecah kesunyian pagi itu, nasiblah anak-anak masih tidur.

“Sudahlah, sayang abang tidak pernah ambil hati dengan apa yang sayang cakap tu, abang sentiasa memaafkan isteri abang yang comel ni.” Harris membelai wajah isteri yang sangat dirinduinya, rindu yang sering dipendam, rindu yang hanya mampu dititipkan pada angin sepoi-sepoi bahasa ketika dia duduk menyendiri di pantai Teluk Likas selama 2 minggu Zahirah dan anak-anaknya berada di kampung. Sesekali ketakutan dan kerisauan menjengahnya andainya rindu yang sering tertangguh tidak mampu diucapkan lagi.

“Sayang, abang kena keluar ni, ada hal nak urus di gerai lepas tu, ada majlis tahlil di surau lepas maghrib, nanti abang balik kita sembang lagi, jaga diri dan anak-anak.” Harris beredar sesudah meninggalkan kucupan hangat di dahi Zahirah, Zahirah memejamkan mata, dia terlalu rindu saat-saat indah bersama suaminya. Perasaan bersalah menjenguk hatinya, selama ini dia sering mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang isteri kerana alasan penat, Harris akur meskipun batinnya terseksa.

Ketika Zahirah mengemas ruang tamu segugus kunci milik suaminya terletak rapi di atas meja malah  bukan itu saja, dompet, telefon bimbit ada di situ. Zahirah menjenguk ke garaj, betul tekaannya kereta dan motosikal suaminya masih ada.

“Apa dah jadi dengan suami aku ni,” cetus Zahirah hairan dan bingung dengan kelakuan aneh suaminya Harris.

“Bagaimana dia berjalan dan berurusan dengan tiada apa-apa dokumen dan duit di tangannya, ya, Allah apa sebenarnya yang berlaku ini.” Zahirah terpana, dia teringat kata-kata suaminya selepas keluar dari bilik doktor yang merawatnya setahun lalu.

“Abang dah sihat, doktor cakap kalau penyakit abang ni bertambah serius tahap pelupa abang akan teruk, sayang tengok-tengoklah kalau abang pelupa, itu tandanya.”

Zahirah cuba menghubungi kakak-kakak ipar dan rakan-rakan suaminya namun tiada seorang pun yang berjumpa dengan Harris. Zahirah buntu dan sepanjang hari dia menangis.

“Ya, Allah, mungkin inilah makna rinduku yang membuka hatiku untuk segera pulang”

Setelah hampir 8 jam keberadaan suaminya tidak dapat dikesan, ikhtiar terakhir mencarinya di surau di taman perumahan itu dan surau kampung yang berhampiran dengan perumahan mereka. Harris selalu berjemaah di surau-surau itu.

“Maaflah puan, dah dua hari dia tidak berjemaah di sini, kami ingatkan dia berjemaah di surau seberang tu.” Imam Harun turut bimbang kehilangan Harris yang sangat rajin bersedekah dan membantu aktiviti di surau itu.

“Kita balik rumah dulu Irah, kesian budak-budak ni, esok pagi kalau Usu tak balik juga, kita buat laporan polis.” Khatijah kakak sulung Harris cuba menenangkan adik iparnya sedangkan hatinya sendiri amat sukar ditenangkan, Harris membesar dalam jagaannya sejak kedua ibu bapa mereka meninggal dunia kerana terlibat dalam kemalangan jalan raya.

“Baiklah puan, laporan ni dah selesai, apa-apa perkembangan pihak kami akan memaklumkan kepada puan sekeluarga,” pegawai polis yang dipertanggungjawabkan mencari kehilangan Harris menyerahkan laporan kepada Zahirah. Sepanjang pencarian suaminya Zahirah berdoa agar suaminya ditemukan dalam keadaan selamat. Namun, kita hanya mampu berdoa, ketentuan takdir tidak mampu dielak.

“Sudahlah Irah, kau kena teruskan kehidupan  bersama anak-anak, dorang itu amanat arwah dan satu-satunya harta yang dia tinggalkan.” Rima sahabat Zahirah dan Harris sejak sama-sama menuntut di universiti.

“Aku boleh terima pemergian arwah kerana itu semua Allah dah tentukan tapi aku tak boleh terima cara dia meninggal, sendirian tanpa saya dan anak-anak di sisinya,” tangisan Zahirah meruntun jiwa Rima. Rima juga turut terkejut mendengar berita kehilangan Harris dan akhirnya ditemui oleh jemaah surau kampung seberang dalam keadaan tidak bernyawa ketika mereka selesai menunaikan solat subuh. Tanpa sebarang pengenalan diri dan mangsa tidak pernah mereka lihat di surau itu sebelumnya.

Petang itu, Zahirah mendapat panggilan daripada pegawai polis yang mengendali kes suaminya.

“Puan, kami telah dapat mengesan keberadaan suami puan.”

“Syukur, Alhamdulillah, di mana suami saya sekarang encik?”

“Puan, dihendaki datang ke hospital T untuk pengecaman mayat suami puan,” belum sempat pegawai polis memberi arahan, Zahirah rebah tidak sedarkan diri.

“Ya, Allah betapa beratnya ujian yang engkau berikan kepadaku, namun aku bersyukur kerana kau telah meminjamkan aku seorang suami yang menjadi imam setiap solatku, membimbing aku menjadi isteri tahu tanggungjawab kepada anak-anak dan keluarga, terima kasih tuhan,” Zahirah mengesat air mata yang mulai membasahi sejadah peninggalan suaminya.

“Abang, Irah janji akan menjadi ibu dan ayah yang terbaik untuk anak-anak kita, maafkaan Irah kerana tidak tahu betapa beratnya derita yang abang tanggung sebagai pesakit kanser paru-paru, Irah akan teruskan ziarah abang ke surau-surau yang belum abang sempat sempurnakan semasa hayat abang.” Zahirah menyimpan rapi diari milik suaminya. Hanya itulah kenangan yang dia ada, semua yang tertulis dalam diari itu menjadi kenangan antara mereka berdua kerana Harris  menulis semua luahan gembira, kesedihan sepanjang mereka bersama dan Zahirah terpaku dengan catatan terakhir suaminya.

“ RINDU YANG TERTANGGUH”

Zahirah terkedu, selama ini mereka sama-sama membendung rindu yang sering tidak terucap. “Aku akan menjaga rindu ini hingga ke akhir hayatku” Zahirah tersenyum menutupi kerinduan yang kian parah namun dia pasrah, dia yakin pasti rindu itu akan bersatu.

 

Januari 2019

Kota Kinabalu.

Naturally, the most important part would be to writing essay services write the essay.

Leave a Reply