LEMBAGA PUTIH DI KORIDOR

#Gambar hanya hiasan semata-mata

‘Aik…malam-malam beginipun masih ada yang main kejar-kejar?. Budak-budak ni kan, tak puas-puas main!’ rungutku.

Aku masih sibuk melakukan sentuhan terakhir di kelas 5 Mutiara ketika aku mendengar gelak tawa riuh rendah di bawah bangunan sekolah dua tingkat itu. Aku teringin sekali mengetahui siapakah kanak-kanak yang masih lagi bermain di kawasan sekolah  pada waktu-waktu begini. Aku keluar ke koridor kelas. Aku memandang ke bawah. Tiada apa-apa. Gelap dan sunyi. ‘Mungkin sudah balik’, Kataku lalu masuk semula ke kelas. Aku melihat jam dinding yang terletak di hadapan kelas 5 Mutiara, di atas sekali. Sudah pukul sebelas malam.

‘Aik, lewat sudah pula ni. Esoklah aku sambung’. Kataku sendirian. Segera aku kumpulkan peralatan yang perlu aku bawa pulang, sementara barang-barang yang belum selesai dipasangkan seperti langsir, lapis meja pelajar dan guru kubiarkan di atas meja guru. Esok aku akan datang untuk menyiapkannya. Seharian hari ini aku hanya sempat menyiapkan sudut-sudut mata pelajaran, melekatkan kata-kata motivasi dan hiasan tambahan lainnya. Langsir dan lapis meja pelajar dan guru adalah perkara terakhir aku lakukan. Ternyata ia tidak sempat aku selesaikan sedangkan aku sudah memulakan kerja-kerja itu sejak awal pagi lagi.

Aku memang begini, jika aku mahu menceriakan kelasku, aku tidak akan libatkan pelajar-pelajarku. Aku lebih suka memberi mereka kejutan. Aku suka mereka teruja, dan bersemangat. Aku hanya akan terapkan nilai bertanggungjawab dan amanah. Selepas semuanya selesai. Nilai kerjasama hanya aku minta mereka aplikasi selepas aku sudah sediakan semuanya. Alasanku kepada mereka apabila mereka bertanyakan kepadaku mengapa aku tidak meminta bantuan mereka.

Jawapanku pendek sahaja “cikgu tidak mahu menyusahkan kamu, tapi cikgu akan tuntut sikap bertanggungjawab dan amanah serta kerjasama kamu nanti”. ‘Bertanggungjawab menjaga keceriaan dan kebersihan kelas kamu. Amanah dalam menjaga semua peralatan yang telah disumbangkan di dalam kelas ini dan bekerjasama dalam mengekalkan keceriaan dan kebersihannya. Sudut-sudut mata pelajaran di bahagian belakang itu perlu kamu tambah, ganti dan kemas kini. Itu sahaja kerja kamu. Selebihnya kita bersama-sama mengekalkan keceriaan dan kebersihan kelas kita’ jelasku kepada mereka sejujurnya.

Mereka boleh menerima caraku ini. Selaku guru kelas, memang aku tidak pernah berkira dalam apa juga keperluan kelas terutama dalam kebersihan dan keceriaan kelas tingkatan 5 Mutiara. Aku sedar sekiranya aku meminta mereka membeli keperluan keceriaan kelas, memang mereka tidak mampu. Kumpul duit untuk tujuan itupun tetap juga  mendukacitakan. Memang mereka tidak mampu. Itulah sebabnya aku lebih suka mengeluarkan duit sendiri untuk tujuan itu dan aku akan minta tolong mereka untuk menjaga dan berusaha mengekalkan kebersihan dan keceriaan kelas. Mereka boleh menerimanya dan memberi kerjasama.

Mereka tidak dan belum pernah menghampakan aku lagi. Setiap tahun aku akan buat begitu untuk kelasku. Jika ada rakan guru atau pelajar yang bertanya tentang siapa yang buat, aku akan beritahu mereka ‘kami yang buat’. Pelajar-pelajarku pun aku titipkan begitu. “kami yang buat” Dengan cara ini mereka tidak akan rasa dipinggirkan. Ada juga satu dua orang pelajar yang akan bercakap bahawa hanya aku seorang yang melakukannya tetapi aku akan menjelaskan kepada mereka kenapa aku buat begitu. Syukurlah, mereka memahami aku. Setiap kali ada pertandingan kebersihan dan keceriaan antara kelas, tidak pernah kelasku mendapat tempat kedua atau ketiga. Kelasku mesti mendapat tempat pertama. Anak didikku akan berasa gembira dan bangga. Bermula dari situlah hubungan kami sebagai guru dan pelajar semakin erat. Mereka tidak pernah melakukan kesalahan disiplin yang serius. Mereka sangat-sangat menghormati aku. Aku juga sangat-sangat menyayangi mereka dan sayangku kepada mereka tidak bersyarat.

Sebaik aku tiba di bawah aku tersentak sebab aku terdengar bunyi kerusi diseret. Meja diheret. Aku mendongak ke atas. Memerhati kalau-kalau ada pelajar asrama yang datang ke kelas tanpa pengetahuan para warden. Aku lorongkan pandangan mataku dari hujung ke hujung barisan bangunan di tingkat dua. Tiada apa-apa aku nampak. Hanya gelap kerana lampu koridor di tingkat dua sudahku tutup sebelum aku turun tadi.

“Pang!

Bunyi seperti kerusi jatuh!

Aku terpana. Aku mendongak ke  tingkat dua sebaik sahaja kakiku menyentuh anak tangga terakhir. Aku cuba memastikan tidak ada pelajar mencuri naik ke atas dan merosakkan hiasan di dalam kelas. Jauh di hujung sana aku seperti nampak sesuatu. Seperti bayang-bayang hitam yang terkena pancaran cahaya dari arah kantin sekolah, Aku tidak dapat mengecam bayang-bayang itu tetapi aku merasakan seolah-olah aku diperhatikan. Seperti ada orang memerhatikan aku dari atas. Aku picingkan mata dan cuba mengagak siapakah di hujung koridor di tingkat satu.

Tidak semena-mena bulu romaku berdiri. Cepat-cepat aku tinggalkan kawasan bangunan sekolah itu. Aku menuju ke bilik guru yang masih terpasang lampunya, kira-kira 100 langkah dari bangunan bilik darjah pelajar. Jam sudah menunjukkan pukul sebelas setengah malam. Sebentar lagi generator  akan dimatikan tepat pukul dua belas tengah malam. Aku segera meninggalkan bilik guru selepas aku menutup lampu dan terus melangkah laju pulang ke flat guru di blok tiga tingkat satu.

Keesokkan paginya, selepas aku siapkan sarapan pagi. Aku kembali ke sekolah untuk menyiapkan sentuhan terakhir di kelas Tingkatan 5 Mutiara. ‘Tinggal lapis meja guru dan lapis meja pelajar yang akanku siapkan hari ini’ bisikku sendiri. Menyimpan tekad sendiri.

 

Setiba di kelas Tingkatan 5 Mutiara, selepas pengawal keselamatan membukakan kunci gril di tangga blok B bangunan sekolah itu. Aku terhidu bau harum. Harum sekali. Aku memerhati sekeliling. Jam tanganku  menunjukkan pukul 8: 30 pagi.

‘Harum juga ni. Emmm…nyamannya’ sambilku menutup mata dan menikmati bau harum lavender itu. Tiba-tiba aku terkejut. Sepertinya baru tersedar. Dari mana datangnya bau haruman itu. Aku memerhati sekeliling dalam kelas 5 Mutiara. Aku keluar ke koridor dan meninjau ke bawah. Tiada apa-apa. Sunyi sepi. Hanya sekali-sekala aku mendangar suara anjing menyalak. Aku teringat cerita orang tua-tua. Kononnya kalau kita terhidu bau harum atau wangian di mana-mana sahaja terutama ketika waktu sunyi, bermakna ada tetamu tak diundang sedang melintas atau berada dekat di kawasan tersebut. Aku tidak berasa takut sebab hari siang, lagipun pengawal keselamatan ada di bawah atau di sekitar sekolah ini.

‘Tak kanlah seawal ini’ getusku sendirian.

Aku masuk semula di kelas. Bau harum lavender sekali lagi menusuk hidungku. Aku menarik nafas dalam-dalam sambil menikmati haruman itu. Biarlah, apapun yang berlaku, aku mesti siapkan segera kerja-kerja yang tergendala semalam. Kali ini aku tidak akan pulang lewat’. Kata hatiku. Tidak semena-mena mataku terpaku pada pewangi kelas di sudut belakang kelas.

‘His!…pewangi kelas bah pula’  sambil melepaskan nafas debar di dada. Lega!

Aku memulakan kerja-kerja meletakkan lapis meja pelajar yang baruku sukat dan gunting. Lapis meja itu daripada tikar getah yang kulipat-lipat. Selepas disukat, kugunting tikar getah itu dengan cermat. Jika hanya seorang yang membuat kerja-kerja ini memanglah lambat. Aku bunyikan lagu-lagu daripada telefon bimbitku supaya aku tidaklah terasa sunyi sangat. Ketika aku leka menyukat dan menggunting tikar getah itu, aku tekejut dengan bunyi kerusi jatuh. Degup jantungku begitu kencang. Aku benar-benar terkejut. Tidak lama kemudian aku mendengar bunyi bising.

‘Nah, bebudak ini mengacau lagi!’ marahku dalam hati. Aku tidak puas hati. Aku  berdiri meninggalkan kerja-kerjaku tadi dan keluar ke koridor. Aku terdengar tapak kaki berkejaran di bawah.

‘Nah kan, memang budak-budak nakal. Nanti kamu!” Rungutku tapi aku tidak turun. Aku berkira-kira siapkan dahulu kerja-kerjaku baru aku mencari budak-budak itu. Aku segera menyambung pekerjaanku. Selesai menggunting tikar getah itu untuk lapis meja pelajar, aku gunting lagi tikar getah itu untuk lapis meja guru. Selesai semuanya, aku mula membalut meja-meja pelajar dahulu menggunakan ‘stapler gun’.

Aku begitu khusyuk menghias dan membalut meja pelajar, tidakku sedar masa begitu cepat berlalu. Makan tengah hari pun aku boleh lupa. Esok hari Isnin, aku mesti siapkan kerja-kerja ini supaya aku boleh memberikan kejutan kepada para pelajarku.

#Gambar sekadar hiasan

 

Suasana sunyi sepi tiba-tiba dicemari dengan bunyi bising di bawah. Sekali lagi kedengaran tapak kaki berlarian berkejar-kejaran di bawah. Anjingpun melolong. Angin tiba-tiba bertiup kencang disusuli deru hujan lebat.

‘Aduh, siapa punya anak-anak guru yang masih berkeliaran di bawah ni. Mereka tidak risaukah tu anak-anak mereka belum pulang’ rungutku sendirian. Geram!. Nasib baik aku belum kahwin. Malam-malam begini jangan harap anak-anakku boleh keluar rumah lagi kalau aku, kataku dalam hati. Memujuk diri sendiri.

Aku mendengar tapak kaki menaiki tangga. Seperti berlari. Berkejar-kejaran. Aku diamkan diri. Aku biarkan sahaja bunyi bising itu. Sekurang-kurangnya ada juga kawanku malam-malam di sekolah ini’ kataku lagi menenangkan hatiku.

Tidak lama kemudian, suasana senyap. Senyap sesenyap-senyapnya. ‘’Aik, mana sudah budak-budak tadi tu’.

Aku sambung kerjaku membalut meja guru. Tinggal itu. Piring-piring kertas sudahku lekatkan di atas siling. Piring-piring kertas yang siapku tulis huruf, satu huruf satu piring itu sudah selesai dilekat. Ia membentuk perkataan akhirnya. Aku membaca perlahan-lahan “KALAU NAK PINTAR, BELAJAR. KALAU NAK BERHASIL, USAHA” Aku tersenyum puas. Semoga anak didikku tersuntik motivasi kerana tahun ini mereka akan menduduki peperiksaan SPM.  Bunga-bunga juntai sudahku letak kemas di sekeliling papan tulis, di atas meja guru, di belakang sudut-sudut mata pelajaran dan di daun pintu. Kelas 5 Mutiara itu bagai dalam taman. Penuh bunga-bungaan. Meja pelajar kususun secara berkumpulan. Satu kumpulan empat buah meja. Di tengah-tengahnya kuletakkan pasu bunga palstik berwarna putih dan setangkai bunga mawar berwarna merah. Di meja guru aku letakkan pasu yang agak besar sedikit, berwarna putih. Beberapa tangkai bunga mawar pelbagai jenis warna sudahku gubah dan kucucukkan pada span pasu bunga tersebut. Lapis meja pelajar berwarna pink putih, sementara meja guru ungu putih. Kerusi plastik pelajar  kubungkus dengan kain berwarna putih dengan reben kain berwarna pink. Kebetulan pelajar di kelas 5 Mutiara ini 95 peratus adalah perempuan. Jadi warna pink, putih dan ungu itu adalah kombinasi warna kesukaanku. Sepintas lalu kelasku ini macam ruangan makan malam untuk majlis perkahwinan.

“Wow, cantik!” Aku memuji hasil sentuhan terakhirku. Aku tersenyum puas.

Aku segera mengumpul peralatan. Sampah dan cebisan tikar getah kusapu dan masukkan dalam tong sampah. Aku tidak mahu meninggalkan kelas itu dalam keadaan berselerak. Selesai menyapu. Sekali lagi aku memandang hiasan kelas itu. Aku juga mengambil beberapa gambar. Aku tersenyum puas!. Aku tutupkan lampu dan melangkah keluar. Koridor masih terang kerana lampu masih terpasang. Ketika aku menyusuri koridor tingkat dua menuju ke tangga, tiba-tiba aku merasakan ada angin di belakangku. Dingin, sejuk. Bulu romaku tiba-tiba berdiri. Tengkukku kembang. Bagai ada orang di belakangku. Aku tidak berani menoleh. Aku cepat-cepat turun. Lampu koridor tingkat dua lupaku padam. Sesampai di bawah aku paksa diriku mendongak. Ada seseorang berdiri di tepi koridor tingkat dua berdekatan kelas 5 Mutiara sambil memandang ke arahku, tetapi mukanya tidak jelas. Rambut panjang terjuntai ke bawah. Darahku menyirap. Aku tidak berlengah lagi. Aku berlari ke bilik guru. Sebelum tiba di bilik guru aku terserampak dengan pengawal keselamatan yang sedang meronda. Fuh!.., aku berhenti dan menoleh ke belakang. Rasa takutku hilang secara tiba-tiba.

“Kenapa?” Tanya pengawal keselamatan.

“Tiada apa-apa pakcik. Lampu di atas saya lupa tutup. Seperti  ada orang di atas lagi” kataku.

“Iyakah?” sambil itu pengawal keselamatan berjalan pantas. Aku tidak lagi menunggu lama. Aku terus ke bilik guru. Matikan lampu dan terus mengunci pintu bilik guru lalu pulang ke rumah.

 

Dua minggu kemudian.

–Bersambung–

Leave a Reply