INGATLAH PESAN BONDA

Seringku pesan kepada anak-anak hidup ini perkongsian..

gembira, duka, bahagia dan derita..

siram dan pupuk kasih yang kita warisi

genggam erat pesan datuk dan nenek.

 

seringku pesan kepada anak-anak..

jangan mementing diri usah cari salah dan kelemahan

jangan cari banding beza kasih sayang ibu dan ayah

jangan sesekali hasad dengki

pesan bonda lagi

hidup ini hanya  sementara  tiba waktu kita akan terpisah

jasad kita akan bersemadi

namun cinta dan sayang tiada akan pernah berakhir.

 

Ingatlah anak-anakku..

pesan bonda jangan keliru..

tuntutlah ilmu dunia untuk masa depanmu

carilah ilmu akhirat untuk mencari reda-Nya

kerana hidup ini hanya pinjaman

pesan bonda lagi..

jaga santun bicaramu, jangan mudah melatah

hormat yang tua sayangi yang muda

jangan pilih warna kulit jangan menilai  ikut darjat

jangan mudah lupa tika mendongak ke langit.

rumput yang kaupijak masih setia menantimu.

 

Bonda berpesan lagi..

andai suatu ketika bonda terlantar tidak bermaya

jangan pernah mengira waktu yang  kau bazir bersamaku

jangan sekali kau mencongak berapa jumlah wangmu susut kerana biayaku

jangan sesekali menunding jari..

mereka tidak sayang, mereka lebih utama kerjaya

jagalah aku kerana  kasih sayang  dan rasa cinta

 

Anak-anakku…

sampai waktunya, bonda akan pergi

tiada harta yang ditinggalkan..

hanya benang kasih yang tersimpul erat

tiada akan pernah terurai..

cinta bonda tiada penghujungnya.

 

Taman Sepanggar, Kota Kinabalu.

29 Ogos 2018

Leave a Reply