AKU BUKAN PEREMPUAN ITU

AKU BUKAN PEREMPUAN ITU

Oleh: KASMAH OSINGANG @ZAAHOSSEY

“ Jangan cuba bermain api dengan aku Rima, aku tahu kau selalu menghubungi suamiku melalui pesanan ringkas,” jerkah Ernie seperti singa betina kelaparan.

“ Er, apa yang kau cakap ni…sa..saya tidak faham ,siapa yang menghubungi suami kau,bila?’ Rima kebingungan  dan kalut tiba-tiba disergah begitu oleh Ernie sahabat karibnya sejak kecil lagi.

Rima tidak menyangka temu janji  yang diatur sendiri oleh Ernie kerana sudah hampir 4 tahun tidak berjumpa sejak  Faris suami Ernie  ditukarkan ke daerah lain. Hanya untuk mencercanya dan melemparkan tuduhan yang tidak berasas.

“Rima, kau jangan pura-pura tak tahu ya, aku tahu sudah  lama kau menjalin hubungan dengan Faris, dia kan bekas kekasih kau ?”amarah Ernie tidak dapat dibendung lagi dan Rima memang masak dengan perangai sahabatnya itu.

Mendengar kata-kata Ernie,wajah  Rima yang putih gebu itu bertukar kemerah-merahan, bagaikan kena penampar, malu dengan orang-orang di sekeliling mereka.

“ Er, sabar dulu, bertenang, beri Ima peluang bercakap dulu” Rima cuba menenangkan Ernie yang semakin sukar mengawal emosinya. Kali ini. Rima sudah nekad dia tidak akan mengalah dan menerima apa saja tuduhan Ernie, sudah terlalu banyak dia mengalah dan membiarkan dirinya diperkotak-katik oleh sahabat dan juga majikan kecilnya suatu waktu dulu.Dia sanggup  mengalah dan berkorban walaupun dirinya menderita, hanya kerana terhutang budi dengan keluarga berpengaruh ini.  Benarlah kata orang “ kerana budi nyawa tergadai’ dan  kerana budi Rima hilang kekasih,hilang orang yang dicintainya, Faris cinta pertamanya.

“ Aku tahu kau berdendam dengan aku Rima, kau suka tengok aku menderita macam sekarang kan..kau kejam Ima” tangisan Ernie semakin kuat dan amat meruntun hati Rima.

“Er, aku tak faham maksud kau ni, aku tak pernah berniat macam tu, aku dah mengalah, aku dah  korbankan semua untuk kebahagian kau, apa lagi yang kau nak Er.., kau sudah keterlaluan” kesabaran Rima tidak terbendung lagi.

Rima mendekati Ernie tangannya cuba menyentuh bahu wanita yang semakin susut itu, kerisauan mengetuk pintu hatinya melihat perubahan tubuh Ernie yang tidak bermaya dan wajahnya tidak seceria dulu, dia akui perasaan marah dan memberontak dengan kelakuan bekas majikan kecilnya selama ini amat berkesan di hatinya. Namun, perasaan itu hilang sedikit demi sedikit dan dia pasrah dan reda dengan takdir yang harus dilaluinya.

“ Percaya Er..Ima tak pernah berhubung lagi dengan Faris, Ima tak simpan pun nombor telefonnya, aku tiada kaitan apa-apa dengannya lagi sejak dia memutuskan hubungan kami dan memilih Er, “Rima berusaha meyakinkan Ernie, kerisauan melihat  wajah yang tidak bermaya mengatasi rasa marahnya.

“ Apa sebenarnya yang berlaku Er, kau sakit ke?” Rima menggenggam jari-jari Ernie pucat dan dingin itu.

“ Aa..aku  “ Ernie tidak mampu meneruskan kata-katanya.

Dia segera merangkul tubuh di depannya dan menangis semahunya. Tubuh yang selalu jadi mangsa cubitan dan pukulan apabila dia marah dan kehendaknya tidak dituruti. Perempuan yang selalu menjadi hamba abdinya, menyiapkan tugasan sekolahnya, sehinggalah mereka berdua ke universiti. Rima lah yang menjadi mangsa melempiaskan amarah  dan yang paling teruk dia lakukan terhadap anak gadis orang gaji keluarganya. Ernie memaksa Rima memutuskan hubungan dengan Faris kekasih Rima sejak di sekolah menengah lagi.

“ kenapa Er, aku perhati wajah kau pucat..tubuh kau sangat susut, kau mengandung lagi ke?”Rima cuba meneka kerana keadaan Ernie persis ketika dia mengandung anak pertamanya yang kini berusia 3 tahun. Rima tahu Ernie mengalami alahan yang teruk ketika mengandung melalui ibunya.

“Ti..tidak, Rima aku dah tak boleh mengandung lagi, atas nasihat doktor aku dah jalani pembedahan buang rahim, aku dah mandul” tangisan Ernie semakin menjadi, Rima terpana dan rasa bersalah menyelubunginya.

“Maafkan aku Er, aku tak tahu pasal tu,’’

“Tak apa, Ima memang aku sorokkan daripada pengetahuan kau, aku takut kau akan mentertawakan aku kerana apa yang telah aku lakukan terhadap kau selama ini”

“ Aku tidak pernah berdendam Er, aku ikhlas melepaskan Faris, aku percaya kepada qada dan qadar..dia bukan jodohku”

“ Tapi aku selalu menganggap kau musuh dan sainganku, aku takut kau akan rampas Faris daripadaku, aku tamak dan tidak berhati perut..dan kini aku terima balasannya” butiran mutiara jatuh membasahi pipi yang kian cengkung itu.

“ Aku cuma mahu kau jujur dan berterus terang dengan aku Ima, siapa sebenarnya perempuan dalam laman sosial ni, dan gambar-gambar perempuan seksi dalam pesanan ringkas telefon Faris ini,’’ Ernie menghulur telefon bimbit milik Faris kepada Rima.

Rima terkedu dan tidak mampu berkata-kata ketika melihat satu demi satu gambar yang mempaparkan dirinya, seksi dan tidak senonoh. Rima amat terpukul melihat gambar-gambar itu dan wajar kalau Ernie begitu marah dengannya.

“ Tapi..a..aku bukan perempuan itu, demi Allah Er..”kini giliran Rima menangis hatinya benar-benar sakit, kecewa dan teraniaya.

“Aku bukan jenis perempuan macam tu, ya Allah, dugaan apa yang engkau berikan kepadaku” ratap Rima sambil menggenggam erat tangan Ernie, rasa bersalah mula menghantuinya .

“ Aku percaya dengan kau Ima, perempuan ni bukan kau. Sebenarnya aku, sejak melihat gambar-gambar aku ragu-ragu menuduhmu..aku tahu bagaimana jenis perempuan yang bernama Rima seorang yang sederhana dan penampilan yang sangat sopan tapi aku tengok wajahnya serupa Ima, saling tak tumpah wajah Ima cuma dibezakan dengan tahi lalat di pipi kiri Ima itu,”   Ernie melepaskan rangkulannya sambil menatap wajah satu-satunya sahabat yang dia ada, sahabat yang terlalu patuh dengan apa sahaja karenahnya, jauh di sudut hati Ernie perasaan sayang terhadap Rima sudah lama tersemai namun dihalang oleh keegoannya.

“Siapa perempuan itu, kenapa dia sangat menyerupai aku sedangkan aku tiada adik-beradik lain,ayah meninggal dunia ketika usiaku 3 tahun, tak mungkin dia ada isteri lain,’’ Rima memandang wajah Ernie dengan perasaan kalut.

“ Tak apalah Ima, lupakan pasal perempuan itu, sebenarnya kalau perempuan itu Ima aku akan tenang dan pasrah, a..aku akan relakan Faris,” kalimat itu terhenti, Ernie sebak dan tidak mampu meneruskan bicaranya.

“ Apa maksud kau Er, dengar kata-kataku ni, aku tak akan jadi perempuan macam itu dan aku tidak mendirikan kebahagiaan atas penderitaan orang lain, maaf aku tidak bermaksud menyindirmu,’’ Rima bingkas sambil beredar sebelum sempat Ernie menahannya.

Ernie tahu bukan mudah Rima memaafkannya, dia cuba menerangkan sesuatu tapi tidak mampu melakukannya, Rima  sanggup berkorban untuk kebahagiaan orang lain tetapi dia juga seorang gadis yang teguh dengan pendiriannya. Itu Ernie pasti dan yakin, kali ini Rima tidak akan bertolak ansur.

Sejak pertemuan terakhir itu, Rima tidak lagi menghubungi Ernie, dia sudah nekad untuk tidak masuk campur urusan rumah tangga Ernie dan Faris. Rima tidak peduli dengan cerita skandal Faris dengan perempuan yang menyerupainya, perasaan cinta terhadap Faris benar-benar terkubur sejak Faris bernikah dengan Ernie. Rima pasrah dengan ketentuan Allah dan dia berjanji tidak akan menangis hanya kerana kehilangan seorang lelaki yang bergelar kekasih. Dia yakin pasti ada sinar bahagia dalam hidupnya.

Petang itu, Rima mendapat berita melalui pesanan ringkas daripada Ernie, Rima nekad untuk tidak mengendahkan pesanan Ernie itu.

“ Ima,aku merayu padamu tolong kunjungi aku di sini, aku sangat memerlukan pertolonganmu” Ernie.

“ Aku tidak akan datang Er, cukuplah kesakitan yang aku tanggung selama ini,aku tidak kuat lagi” bisik hati Rima tanpa membalas pesanan ringkas Ernie.

“ Rima, tolonglah aku, aku tahu kau bukan perempuan itu tetapi aku mahu kau ambil Faris daripada perempuan itu. Aku mengidap kanser rahim dan doktor cakap aku hanya dapat bertahan  beberapa bulan saja lagi. Aku mahu kembalikan Faris kepada Ima dan anak aku yang masih kecil itu sangat memerlukan Ima..tolonglah aku memohon”

Rima terkedu menatap pesanan ringkas Ernie kali ini, tanpa sedar butiran mutiara membasahi pipinya. Rasa kesal dan sedih berbaur kerana tidak mengendahkan kata-kata Ernie selama ini. Petang itu, Rima bergegas ke daerah K untuk menemui Ernie, dia mahu melihat keadaan Ernie dan  dia tidak sanggup membiarkan Ernie terlantar sendirian menanggung kesakitan, apa pun kesalahan Ernie selama ini, perasaan  sayang terhadapnya tidak pernah berubah mungkin kerana mereka berdua membesar bersama di rumah agam itu,dan  Rima sempat mengecapi kasih sayang kedua ibu bapa Ernie yang sudah mengganggap Rima sebagai anaknya sendiri.

Rumah teres 2 tingkat itu agak sunyi seakan tiada penghuni, Rima memberi salam dan seorang perempuan separuh umur membuka pintu.

“ silakan masuk Ima, puan sudah lama menunggu” Mak Ninang pembantu Ernie begitu peramah.

Rima melangkah perlahan-lahan mendekati Ernie yang terbaring lesu di katil, sekujur tubuh yang terlalu lemah dan tidak mampu bangun sangat menyayat hati , Rima menggenggam jejari Ernie yang pucat dan dingin. Tanpa sedar matanya digenang air jernih.

“ Er, aku datang ni, kau kena kuatkan semangat demi anak kau ni” Rima mengusap-usap rambut anak kecil yang belum mengerti derita yang ditanggung ibunya. Sesekali mata Rima mengintai ke seluruh ruang rumah  Ernie namun kelibat suami Ernie tidak kelihatan.

“ Faris, tiada di rumah Ima, awal pagi dia dah keluar. Dia kata ada kerja kat pejabatnya tapi aku tahu…dia..” suara Ernie terhenti, hanya air mata mengalir lesu di pipi cengkung itu.

“ Sabar Er, kejap lagi dia balik tu..mungkin betul dia banyak kerja, aku akan tunggu sehingga dia balik..ada perkara yang aku nak tanya kepada Faris” Rima berusaha memujuk Ernie.

“ Ima, apa lagi yang kau fikirkan, sekaranglah masanya kau membalas semua perbuatan Ernie terhadap kau dulu, ambil balik Faris, biar Ernie rasa bagaimana sakitnya dikhianati..” Dina sahabat karib Rima dan Ernie masa di bangku sekolah yang menyaksikan penderitaan Rima akibat perbuatan Ernie sebelum ini.

“ Tidak Ina, aku bukan perempuan macam tu, aku tak akan balas dendam dan menyakiti orang lain hanya kerana seseorang lelaki, aku lebih mengutamakan persahabatan dan aku sangat menghargai sekecil manapun jasa yang pernah aku terima. Dah, memang  tiada jodoh antara aku dan Faris”  Rima teringat perbualannya dengan Dina ketika dia mengajaknya untuk menziarahi Ernie.

“ Assalamualaikum, Ima ” suara yang sudah hampir 5 tahun tidak didengari itu mengejutkan Rima dan seketika   mata mereka  bertentangan.

“ Walaikumsalam , ohh Faris, awak baru pulang?” Rima tahu ada gentar dalam suaranya kekok berbaur rasa benci masih tersisa. Perasaan benci bukan kerana perkahwinan Faris dan Ernie, tapi benci dengan perangai Faris yang sanggup keluar berfoya-foya meninggalkan isterinya yang sedang bertarung dengan kesakitan melawan kanser. Mungkin inilah hikmahnya disebalik penderitaan yang dilaluinya, Allah memberi kesakitan sekali tetapi menyelamatkannya daripada penderitaan seumur hidup.

“ Ris, Ima minta maaf, bukan niat Ima masuk campur dalam hal rumah tangga kau dan Ernie, tapi aku nak tahu, siapa perempuan yang menyerupai aku yang menjadi punca keretakan rumah tangga kamu berdua?”Rima bertekad untuk mendapatkan jawapan teka-teki yang bermain di kotak fikirannya sejak 2 bulan lalu.

“ahh..aa, dari mana Ima tahu, aa…aku” Faris tidak dapat meneruskan kata-kata, lidahnya kelu, tidak tahu macamana hendak  menerangkan kepada Rima perkara yang sebenar.

“ Ris, aku tidak mahu tahu siapa gadis yang menyerupai aku tu, yang pasti aku bukan perempuan itu dan Ernie memahaminya, Er, sudah cukup menderita dengan penyakit kansernya, awak tak sepatutnya menambah penderitaannya lagi”

“ Aku minta maaf Ima, aku dah sedar dan  tidak sepatutnya aku, melibatkan Ima dalam masalah ini, sebenarnya gadis itu tidak wujud pun, gambar-gambar itu aku  edit dan  gadis itu adalah kau Ima, aku hanya ingin menyedarkan Ernie agar berhenti membenci Ima tetapi tidak berhasil sebaliknya dia merosakkan dirinya dengan perasaan benci dan marah kepada semua orang yang dianggap pesaingnya” Faris memandang sayu sosok tubuh yang tidak bermaya di balik kaca pintu  ruang tamu rumahnya, hatinya hiba melihat keadaan isterinya yang semakin tenat.

“ Aku mengerti kini Ris,  2 bulan lalu Ernie ada menemuiku dan menceritakan semua kisah rumah tangga kamu dan dia mahu aku kembali kepadamu tapi..itu tidak mungkin Ris..aku bukan perempuan yang ingin bahagia di atas penderitaan orang lain dan cintaku bukan alasan untuk melukai hati orang lain” Rima berusaha menahan butiran mutiara gugur membasahi pipinya.

Rima meninggalkan rumah Ernie dan Faris dengan perasaan lega, semua yang terbuku di hatinya selama ini telah diluahkan, dia yakin Ernie pasti akan  bertahan untuk terus hidup demi suami dan anak tunggalnya.  Ernie sudah bersetuju untuk menjalani pembedahan setelah Rima dan Faris berjaya memujuknya.

Petang itu, Rima menerima sepucuk surat berdaftar melalui pos laju. Di belek-beleknya surat itu, Rima terkejut surat daripada Ernie, perasaan hairan mengusik hatinya.

“ Apalah Ernie ni, tulis surat segala, kan boleh melalui pesanan ringkas saja” rungut Rima. Dia gembira dengan perkembangan kesihatan Ernie sejak menjalani pembedahan, Ernie semakin sihat.

Rima membuka surat itu, jejarinya terasa kaku ketika membaca tajuk utama surat itu. “KEBENARAN BERPOLIGAMI ..” Rima tidak dapat meneruskan niat untuk membaca isi kandungan surat daripada Ernie. Perasaan kesian dan simpati kepada Ernie kini benar-benar bertukar perasaan benci yang mendalam.

“ Tidak kira apa pun alasan  Er, kali ini aku tidak akan mengorbankan diri ku hanya kerana memenuhi kehendak  dan kepentingan Er, maafkan Ima” Rima menghantar pesanan ringkas kepada Ernie dan dia sudah nekad untuk tidak berhubung lagi dengan Ernie. Itu keputusan muktamad Rima, dia tidak akan membiarkan dirinya hanyut dalam kancah kekecewaan hanya kerana mengejar cinta seorang lelaki.

“Kenapa, Ima tolak permintaan Ernie, aku tahu Ima masih mencintai Faris, dan aku yakin  Faris pun  masih mencintai Ima, apa lagi yang Ima tunggu?” Dina berusaha memujuk Rima, dia tidak menyangka sahabat yang kelihatan lemah lembut  dan sentiasa berkorban untuk kebahagiaan orang lain, memiliki hati yang keras dan tidak mudah dilentur, yang pasti Dina tidak pernah melihat sahabat baiknya ini mengalirkan air mata kerana ditinggalkan oleh kekasihnya, Faris.

“ Aku percaya kepada qada dan qadar Ina, jodoh dan maut bukan ditentukan oleh manusia. Kalau memang Faris jodohku, aku pasrah dan terima tetapi bukan kerana permintaan Ernie, aku tidak akan mendirikan mahligai atas penderitaan  orang lain, walaupun orang itu pernah memberi penderitaan kepadaku.Itu tekad dan kata hatiku” Rima merenung wajah ceria  sahabatnya yang bakal bergelar ibu tidak lama lagi. Tidak dinafikan jauh di sudut hatinya, naluri perempuannya terusik, dia juga berkeinginan menjadi seorang isteri dan bergelar  seorang ibu, namun hatinya masih merah semerah senja yang baru berlabuh di kaki langit menutupi garis-garis duka  wajah seorang perempuan walaupun tidak pernah meratapi takdirnya. Rima tersenyum lirih  merawat jiwanya yang  sepi dan hatinya berbisik “ Aku bukan perempuan itu” yang tersungkur dan tidak mampu untuk bangkit semula.

 

SRK. ST. Agnes Likas Kota Kinabalu.

28 Ogos 2018

#kredit/News Sabah Times- tersiar pada 16 September 2018

Leave a Reply